Thursday, September 17, 2009

KuRa-KuRa BraZilKu...

Di negara barat, anjing dikatakan sebagai "man best friend" mungkin kerana anjing adalah binatang yang setia kepada tuannya. Ia juga suka bermain dan jika dilatih dengan baik ia akan menurut segala perintah tuannya juga. Jadi tidak juga salah jika saya katakan bahawa kucing pula ialah "girl best friend" kerana perempuan lebih cenderung kepada kucing yang labih bersifat manja berbanding anjing. Kucing pandai menarik perhatian tuannya dan juga suka bermain dengan tuannya. Orang yang menyayangi kucing dianggap sebagai seorang yang penyayang.

Bagi saya pula, saya pernah membela kedua-dua ekor haiwan itu suatu ketika dahulu. Kedua-duanya adalah haiwan yang penyayang. Saya suka kepada kedua-dua binatang itu tapi kini kenangan bersama kedua-dua haiwan itu hanyalah tinggal kenangan. Suasana di bandar tidak sesuai untuk saya membela haiwan-haiwan itu. Tambahan pula, membela haiwan memerlukan satu komitmen yang tinggi dan tanggungjawab yang berat. Banyak haiwan peliharaan saya mati sama ada kerana penyakit, kemalangan jalanraya dan juga lanjut usia.

Jika keluarga Mamajojo (kak rozana) memilih kucing sebagai haiwan peliharaan, saya pula memilih kura-kura Brazil yang kecil dan berwarna hijau sebagai pet. Disebabkan saiznya kecil, jadi tidaklah terlalu susah untuk dijaga. Saya tertarik kepada kura-kura sejak kecil lagi. Kura-kura Brazil sangat comel bagi saya. Mungkin juga kerana saiznya yang kecil itu. Saya juga pernah memiliki beberapa ekor kura-kura hitam dan putih kekuningan (kura-kura tempatan yang biasa terdapat di hutan negeri Sarawak). Kini masih lagi tinggal 2 ekor di kampung.

Bagi sesiapa yang pernah melawat blog saya di alamat
http://heromanzo316.wordpress.com/ , pasti anda pernah terbaca artikel tentang kura-kura Brazil saya yang comel itu. Kini si Fufu dan Fifi sudah bertambah besar. Dah sebesar tapak tangan saya dah. Dengan pemberian makanan yang konsisten, saiz kura-kura akan cepat membesar. Gelagat si Fufu dan Fifi sering mencuit hati saya, apabila melihat mereka berenang terasa tenang dan terhibur. Lagi-lagi bila tiba masa memberi makan, pasti mereka berdua akan gembira sangat dan berenang-renang menhampiri tepi aquarium untuk menunggu makan diberikan. Saya memberi makan sebanyak 4 kali sehari iaitu pagi, tengah hari, petang dan malam. Jadi kura-kura itu seakan sudah mengerti bila tiba waktu makannya.

Membela kura-kura Brazil pada awalnya sangat senang kerana saiz mereka kecil tapi bila sudah bertambah saiz, lain pula ceritanya. Air aquarium akan mudah kotor jika tiada penapis air. Pada mulanya saya takut juga nak membeli kura-kura, sebabnya takut tidak ada orang yang akan memberi makan jika saya balik ke kampung halaman. Tapi bila teman wanita saya menhadiahkan kura-kura Brazil masa valentine day, rasa gembira mengatasi ketakutan itu. Mungkin juga kerana saya memang dah lama ingin memiliki kura-kura Brazil itu kot?!

Dalam blog saya di alamat http://heromanzo316.wordpress.com/, saya pernah mengatakan bahawa "hanya yang kuat sahaja yang akan terus hidup". Artikel itu tentang sikap si Fufu yang selalu membuli si Fifi kerana saiznya kecil. Tapi bila saiz si Fifi mula membesar, si Fifi sudah boleh melawan balik ataupun membuli balik si Fufu. Akhirnya kata-kata itu menjadi realiti dan yang malangnya ianya berlaku kepada kura-kura Brazil saya juga.

Ceritanya bermula begini....

Alkisah setelah 4 bulan kemudian, saya membeli lagi 2 ekor kura-kura Brazil yang bersaiz kecil. Kura-kura itu saya namakan si Biskut dan Susu. Nama yang sedap kan? Tengoklah siapa yang pilih. Si biskut pernah hilang dari aquarium dan hilang selama seminggu. Akhirnya housemate saya jumpe Si Biskut berada dekat dengan mesin basuh. Agaknya dia bersembunyi dibawah mesin basuh sebab itu tidak dapat dikesan. Akhirnya kura-kura itu mendapat nama "Biskut", kejap ada, kejap tiada.

Tanggal 16 september iaitu hari jadi negara kita Malaysia yang ke 46 tahun, pada jam 7 malam terjadilah satu tragedi yang menimpa kura-kura Brazilku. Si Fifi yang dulunya selalu kena buli telah pun mengigit kepala si Biskut hingga putus dan menelannya sebagai hidangan makan malam. Ah, bertapa sedih dan geramnya perasaan saya pada waktu itu. Hanya tuhan saja yang tahu. Si Fifi menjadi pembunuh. Si Fifi yang dulunya selalu dibuli kini bertukar menjadi pembuli dan pembunuh. Kalau ikutkan hati, dah lama saya denda si Fifi. Denda dengan tidak memberi makan selama seminggu. Tetapi saya percaya itulah rencana yang tuhan tentukan untuk Si Biskut. Itulah rencana tuhan, rencana tuhan mengatasi rencana saya. Saya terima dengan hati yang tenang dan menganggap itu semua adalah lumrah alam. Setiap benda yang bernafas pasti akan mati juga suatu hari nanti. Hanya kasih tuhanlah yang tetap abadi selamanya, amin. "Takdir yang tuhan tentukan untuk kura-kura saya". Pada masa itulah, saya teringat akan artikel yang pernah saya tulis di blog cubaan pertama saya. "Survivor", yang kuat akan terus hidup atau bertahan dan yang lemah akan ditindas atau boleh dimakan oleh yang pemangsa yang lebih kuat". Ternyata hasil nukilan saya itu digenapi oleh tuhan yang maha esa.

Begitu juga dengan kehidupan kita di dunia yang fana ini. Sering kali kita mendengar cerita tentang "yang kuat" ini menindas "yang lemah". Yang lemah akan betambah lemah jika mereka tidak berani bangkit menentang yang kuat atau paling tidak pun bangkit menjadi kuat agar tidak lagi ditindas. Tetapi sering kali kita ditindas, kita lupa bahawa tuhan berserta kita. Tuhan tidak akan menguji umatnya melebihi kemampuan mereka sediri. Tuhan sentiasa inginkan yang terbaik untuk kita anak-anaknya. Apa saja yang tuhan rencanakan untuk kita, pasti itu adalah jalan yang terbaik. Ambilah sedikit kesempatan untuk berdoa dan memohon perlindungan daripada tuhan. Berserahlah dan bersandarlah kepada tuhan. Biarlah roh tuhan bekerja di tempat anda. Percayalah, tuhan selalu mendengar doa-doa mereka yang tertindas. Seperti yang tercatat di dalam alkitab, "Doa orang yang benar, bila dengan yakin didoakan, sangat besar kuasanya" yak 5: 16. Tuhan sentiasa beserta kita. Yang percaya, katakan "amin".

Seperti cerita kura-kura Brazilku tadi, si Fifi yang dulunya selalu dibuli akhirnya menjadi pembuli dan pembunuh. Itulah yang akan terjadi kepada kita jika kita selalu mempunyai hati berdendam. Itulah yang sering terjadi kepada saya. Sewaktu kecil, saya sering dibuli oleh rakan-rakan di sekolah dan sebagai balasannya saya akan membuli adik-adik dan sepupu saya yang badan dia lagi kecil dari saya. Tapi itu dulu, semakin dewasa saya menyedari bahawa saudara mara kita adalah segala-galanya bagi kita. Tanpa mereka di dunia ini, kita mungkin akan menjadi sebatang kara sahaja atau paling tidak pun menjadi kera sumbang. Dengan menjadi kuat tidak bermakna kita boleh menindas mereka yang lemah. Menjadi kuat agar kita tidak ditindas dan menolong mereka-mereka yang ditindas itu lagi baik. Jadilah diri kita sendiri, bukan berubah menjadi orang lain yang kita sendiri benci. Layanlah orang lain seperti mana anda ingin orang lain melayani diri anda. GBU.

0 comments:

Post a Comment